DEWASA ini, antara kaedah yang digunakan oleh musuh-musuh Islam ialah dengan mengelirukan pemikiran umat Islam perihal agama mereka.
Mereka sanggup menghabiskan banyak masa dengan mengkaji al-Quran dan sunnah, demi memutarbelitkannya. Akhirnya, maklumat yang dikelirukan itu disebarkan kepada masyarakat, dengan satu matlamat 'jahat' iaitu supaya generasi baru umat Islam meragui serta membenci agama mereka sendiri.
Bahaya menanti umat Islam seandainya dakyah ini ini tidak dibendung sebaiknya, ia bakal memurtadkan golongan umat Islam terutamanya, mereka yang cetek pengetahuan ilmu agama Islam.
Lantaran itu, ilmu yang mantap bukan sahaja mampu menangkis serangan, tetapi juga boleh menjadi peluru bagi menyerang minda musuh sehingga akhirnya mereka kagum dengan Islam dan memeluk Islam.
Justeru PTS Millennia Sdn. Bhd. terpanggil menerbitkan buku Tuan Bertanya, Dr. Danial Menjawab Mengenai Persoalan Islam Yang Kontemporari, karya Dr. Danial Zainal Abidin.
Ia sekali gus bagi membina minda dan kefahaman umat Islam secara tepat supaya mereka mampu menjawab segala serangan, di samping menambah keyakinan umat Islam kepada agama Islam yang syumul ini.
Bagi anda yang memang mengikuti karya-karya penulisan daripada Dr. Danial pasti anda telah memiliki bukunya, Kit Kombat Islam yang telah diterbitkan pada Februari 2002.
Akui pengarang best seller ini, ia mendapat sambutan menggalakkan, sehingga dalam jangka masa setahun, telah dicetak sebanyak dua kali.
Rentetan itu, buku ini adalah buah tangan terbaru Dr. Danial kepada peminat setia, di mana ruang lingkup perbincangannya lebih luas, lebih lengkap serta kontemporari.
Buku ini ditulis dalam format soal jawab, supaya isi-isinya menjadi lebih fokus dan para pembaca serta pengkaji dapat memberikan respons yang baik apabila berhadapan persoalan yang sama. Soalan-soalan berdasarkan pengalaman beliau selama berdakwah di Malaysia, sejak tahun 1984.
Persoalan yang diutamakan adalah menyentuh isu-isu berkaitan prinsip Islam. Persoalan berkaitan fikah, secara cabang lagi ranting walaupun ada, namun tidak difokuskan secara khusus di dalam buku ini.
Antara topik yang difokuskan adalah yang berkaitan dengan kesucian al-Quran, kebenaran hadis, keperibadian Nabi Muhammad, penindasan ke atas wanita Islam, kemunduran ajaran Islam, keganasan dan yang seumpamanya.
Kenyataannya, kemantapan ilmu adalah perisai yang terbaik bagi menangkis serangan musuh ini.
Buku ini juga diolah menggunakan pendekatan moden, berasaskan al-Quran dan sunnah. Ia perlu dibaca dan dimiliki oleh mereka yang ingin mengetahui jawapan kepada persoalan yang dihadapkan oleh musuh-musuh Islam pada hari ini.
No comments:
Post a Comment