I am collecting every Islamic article from trusted sites. As my collection and sharing for everyone.

Thursday, April 12, 2012

Anak tak sah taraf: Mufti Perlis nasihat ibu bapa cabar JPN


http://drjuanda.com/?p=695


Anak tak sah taraf: Mufti Perlis nasihat ibu bapa cabar JPN

KUALA LUMPUR, 8 Nov — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menasihatkan keluarga Muslim, yang berhadapan masalah meletakkan nama keluarga bagi anak luar nikah atau bayi yang lahir dalam tempoh enam bulan selepas perkahwinan satu-satu pasangan, agar mencabar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di mahkamah jika enggan menerima pengakuan si lelaki bahawa dia adalah bapa yang sah.


Menurut Juanda, keengganan JPN menerima pengakuan seseorang bapa sebenarnya memalukan mereka dan ia amat jelas bertentangan dengan Islam lebih-lebih lagi jika sudah ada fatwa negeri sebagaimana diputuskan oleh kerajaan negeri Perlis.

“Sudah cukuplah kontradik hukum hakam ini mencelarukan rakyat Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan yang diemelkan dari Mekah.

Sehubungan itu kata Juanda (gambar), beliau menyokong kenyataan beberapa sarjana, yang dibawa The Malaysian Insider semalam, agar pihak berkuasa agama khususnya Majlis Fatwa Kebangsaan dengan segera meneliti perkara tersebut.

Prof Dr Mohamad Ajmal Abdul Razak Al-Idrus dari Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac) berkata, satu pertemuan perlu dipanggil untuk membincangkan isu berkenaan di kalangan sarjana yang berlainan aliran sunah untuk “mencari satu penyelesaian secara progresif.”

Kata beliau, sudah ada kes-kes masa lalu di mana menerima idea daripada aliran lain, antaranya berkaitan tunai haji, apabila lelaki dan wanita boleh bersolat bersebelahan, di depan atau belakang satu sama lain dan menyentuh satu sama lain secara tidak sengaja tidak membatalkan sembahyang.

“(Oleh itu) ‘menulis tidak berkenaan’ pada ruang bapa dalam sijil kelahiran akan merugikan seseorang kanak-kanak sebab ia satu bentuk diskriminasi dan melabelkan kanak-kanak terbabit dengan stigma yang dia tidak harus tanggung,” kata beliau dalam satu tulisan siaran akhbar tempatan kelmarin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia Prof Dr Mohamad Hashim Kamali pula berkata, dalam Islam seseorang bapa boleh menuntut hak keibubapaan meskipun anaknya lahir akibat hubungan luar nikah.

Kata beliau, sebaik sahaja pengesahan keibubapaan diperoleh, kesemua hak lain termasuk hak ke atas soal penjagaan dan nafkah akan menyusul dengan sendiri.

“Tidak ada anak lelaki dan anak perempuan kelas pertama, atau kelas kedua ataupun kedua ketiga apabila pengesahan keibubapaan diberikan,” kata Hashim lagi.

Sambil mengakui beliau tidak terkejut bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan menerima pandangan majoriti bahawa hanya bayi yang lahir selepas enam bulan selepas satu-satu perkahwinan adalah sahih, Hashim yang menghormati pendirian badan itu menyoal sama ada pihak berkenaan melihat secara mendalam dengan mengambil kira pelbagai perkara berkaitan.

“Mengapa kita perlu terlalu literalis dalam fesyen ini? Mengapa Majlis Fatwa harus berfikiran bahawa mereka hanya boleh sah jika mereka mengikuti versi yang sangat menyusahkan ini?

“Masyarakat Malaysia tidak wajar dilayan dengan peraturan sedemikian,” kata beliau sambil menambah, simpati dan kebijaksanaan untuk memahami Islam dengan betul dalam era semasa.

“Ulama dan mufti kita harus sentiasa memberi perhatian kepada perkara ini,” kata Hashim mengulas laporan media bulan lalu.

Laporan media itu menyebut maklumat mengenai individu yang mengaku bapa kepada anak luar nikah kini boleh dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan yang dikeluarkan JPN.


Maklumat itu berdasarkan pengakuan sebagai bapa bagi pasangan yang berkahwin kurang daripada enam bulan atau qamariah dan yang tidak berkahwin dengan syarat ibu dan lelaki itu menandatangani bersama borang permohonan. Ia selaras dengan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, Seksyen 10 Ordinan Sabah Cap 123 dan Seksyen 11 Ordinan Sarawak Cap 10 dan Pekeliling 8/2009 yang telah diedarkan kepada semua JPN negeri pada Ogos 2009.

Penjelasan itu dibuat dalam kertas kerja oleh Timbalan Pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN, Noor Azliza Shaharuddin bersama Pegawai Undang-Undang JPN, Zarifah Zulghaffar di Kuala Terengganu pertengahan bulan lalu.

Isu anak tidak sah taraf hangat dibincangkan apabila kerajaan negeri mencadangkan mekanisme bagi membolehkan anak-anak itu didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan bin atau binti bapa bagi mengelak kanak-kanak itu menanggung tekanan emosi berpanjangan.

Menurut kertas kerja itu, tujuan memasukkan maklumat berkenaan adalah untuk memberikan taraf kewarganegaraan kepada bayi sekiranya bapa adalah warganegara Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Terengganu Khazan Che Mat berkata, cadangan kerajaan negeri agar diwujudkan mekanisme bagi membolehkan anak tidak sah taraf atau anak luar nikah didaftarkan dengan bin atau binti bapanya tidak harus disalah tafsir dan dipolitikkan.

Menurut beliau, cadangan itu sebagai alternatif untuk memastikan golongan itu tidak menanggung bebanan emosi dan terhukum kerana kesalahan ibu bapa masing-masing.

Katanya, soal itu baru sahaja dikemukakan dalam kertas cadangan untuk diserahkan kepada Majlis Fatwa Negeri untuk dibincangkan pada mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan tidak lama lagi.

Sehubungan itu, Juanda menambah, Perlis sudah lama mengeluarkan fatwa berkaitan hal itu, yang diputuskan sekitar 2007 dan 2008.

“Kami sudah mendalami hal ini hampir setahun daripada pelbagai sumber Islam yang tidak boleh dipertikaikan seperti dari Sahih al Bukhari dan Syarahnya kitab Fathul Bari karangan ulama mazhab syafie yang terkenal, Ibnu Hajar al Asqalani dan sudah ada fatwa daripada Jawatankuasa Fatwa Perlis berkaitan hal ini.

“Ulama antarabangsa seperti Wahbah Zuhaili pun ada pandangan sebegini. Ulama peringkat dunia tidak bawa pandangan sama seperti di Malaysia. Entahlah, kenapa? Hal di Malaysia ini baru berlaku dekad akhir ini sahaja sedangkan dari dulu tidak isu ini,” kata beliau.

Mufti Perli menambah, pihaknya telah mengarahkan JPN negeri agar akur dengan keputusan fatwa negeri itu yang telah pun diperkenankan oleh Raja Perlis.

“Tetapi JPN Perlis enggan patuhi atas alasan, ia urusan dan arahan pihak persekutuan sedangkan urusan penentuan nasab keturunan orang Islam adalah urusan agama, dan urusan agama, kalau menurut Perlembagaan Persekutuan dan undang undang tubuh kerajaan negeri perlis adalah hak dan urusan mutlak negeri yang dinaungi oleh Raja Perlis.

“Kami akan perjuangkan hak anak ini dan hak keluarga mereka daripada dimalukan,” katanya lagi.


Sumber :- http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment