Maka ramai la yang tak faham. Kita Islam ada 4 Mazhab.
MAKLUMBALAS BERKAITAN HUKUM MENYENTUH / MEMEGANG ANJING
1. PENDAHULUAN
Tulisan ini dikemukakan untuk tatapan awam sebagai menjawab aduan awam
berkaitan tindakan seorang wanita Melayu memegang anjing dan isu
kepekaan masyarakat Islam terhadap kepentingan mengambil sumber makanan
halal lagi baik.
2. LATAR BELAKANG
2.1. Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Agama Islam
Selangor (JAIS) telah menerima aduan awam mengenai satu artikel dalam
Akhbar The Star bertarikh 24 April 2010 (Sabtu) menyiarkan seorang
wanita Melayu yang giat aktif menyertai secara sukarela satu pertubuhan
menyelamatkan binatang terbiar seperti anjing iaitu Society,
Prevention, Cruelty dan Animal(SPCA). Aktiviti seorang wanita Melayu
Islam memegang seekor anak anjing telah menimbulkan isu kurang senang
di kalangan pembaca akhbar tersebut.
2.2. Pengadu iaitu Nora mendakwa Akhbar The Star dianggap telah
menghina Islam melalui aktiviti yang telah dilakukan oleh seorang
wanita Melayu Islam. Bertitik tolak dari itu, penjelasan lanjut
diketengahkan menjurus kepada isu orang Islam memelihara anjing, dan isu
berpegang kepada sesuatu mazhab.
3. PENJELASAN BERKAITAN HUKUM ORANG ISLAM MENYENTUH / MEMEGANG ANJING MENGIKUT MAZHAB SHAFIE
3.1 Mengikut pandangan Mazhab Shafie, binatang anjing adalah
termasuk dalam kategori najis mughallazah (najis berat). Kalau terkena
air liur dan najisnya perlu disamak dengan air mutlak 7 kali dan sekali
dengan air bercampur tanah. Menyentuh atau memegang anjing tidaklah
berdosa atau menyalahi hukum Islam.
3.2 Berkaitan hukum memelihara anjing mengikut pandangan Mazhab Shafie adalah seperti berikut :
a) Diharuskan memelihara anjing untuk tujuan berburu, memelihara
keselamatan rumah daripada dimasuki oleh pencuri, menjaga tanaman,
rumah, harta benda dan sebagainya.
b) Tidak dibolehkan memelihara anjing untuk tujuan hobi (pet) atau
dijadikan sebagai binatang hiasan di rumah. Berdasarkan syarah Imam
Nawawi dalam Kitab Majd al-Musyarah wa Muhadzah, juz 9, halaman 9
menjelaskan bahawa tidak boleh memelihara anjing kecuali untuk berburu
binatang, menjaga binatang ternakan, menjaga tanaman dan
menjaga keamanan rumah.
3.3 Jika dirujuk kepada pandangan Yusuf al-Qaradawi, (kitab al-Halal
wa al-Haram fi al-Islam) beliau mengatakan hukum memelihara anjing
sebagai binatang kesukaan adalah haram. Hal ini berdasarkan hadith
Rasulullah S.A.W. yang bermaksud dari Abi Sufian bin Abu Zuhair, bahawa
Nabi S.A.W. bersabda antara lain maksudnya : “Barang siapa yang
memelihara anjing bukan untuk menjaga ladang atau ternakan, maka setiap
hari pahalanya berkurangan satu qirot”. Erti qirot hanya Allah sahaja
yang mengetahui kurangnya. Hadith ini disepakati oleh Bukhari dan
Muslim.
4 . PENJELASAN ISU ORANG ISLAM MENGAMBIL JALAN MUDAH TERHADAP SESUATU MAZHAB (BERKAITAN MENYENTUH ANJING / MEMELIHARA ANJING)
4.1 Pada umumnya para ulama berpendapat bahawa orang awam diharuskan
berpindah-pindah mazhab dengan syarat-syarat yang tidak menyimpang
daripada al-Qur’an dan al-Hadith. Ini kerana dalam kes-kes tertentu
ulama - ulama Mazhab ini berbeza mengenai perkara yang furu' (cabang)
dan bukan perkara asas. Bahkan Imam-Imam Mazhab juga tidak memaksa
pengikutnya hanya berpegang kepada pegangannya sahaja. Lazimnya mereka berpindah dari satu mazhab ke mazhab yang empat kerana ada
sesuatu kesulitan (masyaqqah) dan ada juga yang berpindah mazhab secara
berterusan atau secara sekejap sahaja (kemudian kembali semula ke
mazhab asal) adalah diharuskan.
4.2 Isu berpindah-pindah mazhab adalah dibenarkan dengan syarat
tidak berlaku talfiq yang diharamkan (berlaku perkara yang tidak
diiktiraf oleh ulama Islam). Apakah yang dimaksudkan dengan talfiq?
Talfiq di sini bermaksud diharamkan mengumpulkan atau menghimpunkan
pendapat ulama di dalam satu masalah. Jika dihimpunkan dua atau tiga
pandangan ulama dalam satu masalah, para pelopor mazhab tidak
membenarkan dan tidak diakui oleh mazhab tersebut. Contoh,
menghimpunkan cara mengambil wuduk mengikut Mazhab Syafie, Hanbali dan
Maliki dalam satu ketika adalah tidak dibenarkan. Contoh lain yang
lebih mudah difahami. Bolehkah dalam satu waktu seseorang itu memakai
tiga jenis pakaian tradisional iaitu Cina, Melayu dan pakaian Panjabi.
Ketiga-tiga pelopor pakaian tradisional tersebut tidak mengiktiraf cara pemakaian baju tradisional tersebut.
4.3 Memahami Mazhab Syafie secara umum adalah suatu kewajipan bagi
yang berpegang dengan mazhab tersebut. Adapun isu yang timbul dalam
masyarakat Islam masa kini ialah mereka tidak mendalami serta memahami
sesuatu mazhab itu. Sehingga apabila timbul sesuatu kesulitan, mereka
terus berpindah ke sesuatu mazhab (Hanafi) contohnya, tanpa memahami
dengan lebih mendalam. Akibatnya mereka terperangkap dalam kekeliruan
dan kejahilan di antara dua mazhab tersebut. Situasi ini tidak
dibolehkan
sama sekali dalam konteks bermazhab.
4.4 Berbalik kepada isu seorang wanita Melayu yang memberi pandangan
dibolehkan mengikut Mazhab Maliki ketika menyentuh anjing walaupun
terkena air liurnya, adalah bertentangan dengan prinsip berpindah
mazhab seperti yang dijelaskan di atas. Di dalam Kitab Majmu’ Fatawa,
halaman 382 secara jelas dinyatakan bahawa tiada seseorang perlu
mengikut orang-orang yang tertentu sama ada larangan dan cadangan,
selain dari Rasulullah S.A.W (sunnah nabi). Seorang Islam hendaklah merujuk soalan
mereka kepada ulama dan bukan mengikut citarasa tersendiri berdasarkan
kecenderungan-kecenderungan tertentu yang tidak bertepatan dengan
Syarak. Jumhur ulama Islam membenarkan seseorang itu mengambil
keputusan atau pandangan seseorang Imam terhadap sesuatu perkara yang
mana dia rasakan lebih baik dari segi komitmen agamanya atau lebih tepat dalam hal-hal yang diselisihkan itu.
4.5 Sementara itu, Syeikh Abd al-Karim al-Khudayr mengatakan bahawa
seseorang itu tidak boleh menukar pendapatnya semata-mata kerana
sesuatu pandangan itu menyenangkannya atau memilih sesuatu pandangan
kerana rukhsahnya (keringanan) semata-mata. Sebaliknya umat Islam boleh
memilih sesuatu pandangan berdasarkan dalilnya yang terbaik di kalangan
yang lain atau pandangan yang lebih benar. (Lihat Majmu’ Fatawa,
halaman 23).
4.6 Sebagai penegasan berdasarkan kenyataan di atas, umat Islam
tidak dipaksa mengikut sesuatu pandangan sahaja tanpa mengetahui
nas-nas yang memerintahkan untuk melakukan demikian. Mereka dibenarkan
memilih pandangan (nas) yang lebih baik dari kalangan Imam (mazhab)
yang bersesuaian. Demikian juga umat Islam tidak boleh memilih sesuatu
pandangan mazhab kerana rukhsahnya / keringanannnya semata-mata. Jika tidak membuat pemilihan, ikutilah Imam (pemimpin) yang lebih
taqwa dan berilmu pengetahuan. Umat Islam dilarang memilih pandangan
yang mudah dan sesuai dengan naluri tanpa melihat kepada nas-nasnya
terlebih dahulu.
5. KEPEKAAN ORANG ISLAM TERMASUK GOLONGAN SAUDARA BARU TERHADAP KEUTAMAAN MENGAMBIL / MEMILIH MAKANAN HALAL
5.1 Adalah menjadi kewajipan umat Islam memilih makanan yang
diyakini dan disahkan halal lagi baik termasuk premis makanan /
restoran yang menyelenggarakannya. Islam mengambil berat aspek
pemakanan bukan sahaja dari khasiatnya sahaja tetapi juga dari mana
sumber asalnya dan daripada apa serta bagaimana ianya dihasilkan
bertepatan dengan konsep halalan toyyiba (Surah al-Baqarah 2 : 168,
Surah al-Maidah 5 : 88, Surah al-Anfal 8 ; 69 dan Surah al-Nahl 16 :
114). Ini kerana, daripada makanan
yang dimakan akan menjadi darah daging dan memberi kesan kepada
perlakuan atau tindakan individu. Jika umat Islam tidak prihatin dalam
soal memilih jenis makan minum termasuk premis makanan yang disahkan
halal, dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah di kalangan umat Islam
kerana tidak menjaga status makanannya halal atau haram.
5.2 Sebagai sebuah agensi Kerajaan, Jabatan Agama Islam mempunyai
bidang kuasa untuk memberi penerangan dan dakwah dari semasa ke semasa
kepada umat Islam dan mengingatkan mereka supaya sentiasa berhati-hati
dalam urusan pengambilan sumber makanan yang halal lagi baik. Tidak
terkecuali kepada golongan saudara baru yang dilihat perlukan sokongan
moral yang kuat daripada seluruh umat Islam. Namun, nasihat dan teguran
secara hikmah daripada orang ramai amat diperlukan dalam pelbagai aspek
supaya semua orang Islam dan termasuk golongan saudara baru memahami
aspek-aspek Syariah mengikut cara yang sebenar. Oleh itu, perlu
ditegaskan adalah menjadi satu tanggungjawab dan kewajipan kepada semua
orang Islam untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah sama ada melalui
tulisan, secara lisan atau melalui teladan yang baik. Kerana
sesungguhnya kerja-kerja dakwah tidak hanya dibebankan kepada Jabatan Agama Islam sahaja. Sebaliknya semua orang Islam berhak melaksanakan
usaha dakwah dengan apa cara sekalipun sehingga ajaran Islam tersebar
ke seluruh pelusuk alam.
6. PENUTUP
Sebagai sebuah agensi agama yang menjaga kemaslahatan umat Islam di Negeri Selangor, JAIS menggesa supaya:
6.1 Media massa dan media cetak khasnya Akhbar The Star untuk tidak
mengulangi paparan isu-isu yang boleh menyentuh sensitiviti agama Islam
dan yang berkaitan orang Islam secara semberono. Kerana sesungguhnya
tulisan yang boleh menimbulkan sensitiviti umat Islam tidak
menguntungkan semua pihak. Malah jika tidak dibendung, ianya boleh
menggugat keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
6.2 Para ulama yang mempunyai autoriti dalam mengemukakan pandangan
perlu dirujuk dalam menanggapi persoalan semasa dan tidak
sewenangwenangnya setiap individu mengemukakan idea dan pandangan tanpa
berlandaskan nas atau keterangan yang tepat, jelas dan berwibawa
lebihlebih lagi dalam hal-hal yang bersangkutan dengan taklid mazhab.
6.3 Umat Islam diingatkan berhati-hati dalam konteks pengambilan
sumber makanan yang halal lagi baik supaya menjamin kesihatan dan
mendapat keberkatan dalam hidup.
Disediakan oleh :
Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan
Jabatan Agama Islam Selangor
18 Mei 2010 / 4 Jamadilakhir 1431H
No comments:
Post a Comment