I am collecting every Islamic article from trusted sites. As my collection and sharing for everyone.

Friday, May 27, 2011

Perkahwinan sebangsa - Buka mata keluarga

Perkahwinan sebangsa - Buka mata keluarga


Rencana AZMI ABDUL MALEK

MOHAMMAD Hafiz Ng Abdullah dan Asmah Beng Abdullah, masing-masing berusia 39 tahun bertemu jodoh setelah masing-masing memeluk Islam sejak 16 dan 23 tahun lalu.

Mohammad Hafiz memeluk Islam ketika usia beliau dalam lingkungan 20-an, manakala Asmah mengucap dua kalimah syahadah pada usia belasan tahun lagi.

Mohammad Hafiz yang dibesarkan di bandar raya Ipoh melalui jalan pengIslaman yang cukup berbeza dengan isterinya, Asmah yang banyak dipengaruhi cara hidup masyarakat Orang Asli Jahut di Temerloh, Pahang.

Biarpun jarak di antara mereka beribu batu namun takdir Ilahi tiada siapa dapat menghalangnya.

Mohammad Hafiz dan Asmah, akhirnya bertemu seterusnya bergelar suami isteri, sewaktu sama-sama menuntut di Institut Dakwah Islamiah (IDI), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Petaling Jaya, kira-kira 16 tahun lalu.

Kini, hasil perkongsian hidup pasangan bahagia ini telah dikurniakan sepasang cahaya mata, Mohd Qaiyim, 12, dan Mohd Sina, 11, pelajar Sekolah Kebangsaan Cator Avenue, Ipoh.

``Sebelum saya berkahwin dengan Asmah, keluarga menganggap saya peluk Islam sebab hendak berkahwin dengan gadis Melayu tetapi jodoh dengan Asmah, sekali gus telah menolak tanggapan itu,'' akui Mohammad Hafiz sewaktu ditemui di rumahnya di Ipoh, baru-baru ini.

Malah menurut Mohammad Hafiz, beliau sanggup merahsiakan pengIslamannya daripada ahli keluarga terutamanya pada ibu bapa kandung kerana kecintaan dan keyakinan beliau kepada Allah s.w.t.

Mohammad Hafiz mengakui ketika masih bernama Vincent Ng San Sui beliau sememangnya suka kepada hiburan seperti menghabiskan waktunya di kelab-kelab malam dan disko.

Pun begitu, hatinya masih tidak terhibur dan beliau masih mencari-cari ketenangan hidup sehinggalah berkenalan dengan seorang saudara baru dalam satu pertemuan yang tidak dirancang.

``Dialah yang menunjuk jalan dan membuka hati saya untuk mempelajari kehidupan bergelar seorang Muslim,'' cerita Mubaligh Islam di Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) ini.

Semenjak itu, beliau ditugaskan berdakwah kepada saudara baru dan masyarakat bukan Islam.

Cabaran

Menceritakan pengalaman bergelar seorang Muslim, beliau akui cabaran berbentuk cemuhan ahli keluarga dan rakan-rakan sebaya sebagai asam garam bagi mereka yang bergelar saudara baru.

``Saya tidak marah dan hanya mendiamkan diri. Malah lima tahun belajar agama di IDI, Perkim, saya rahsiakan daripada pengetahuan keluarga.

``Tetapi apabila keluarga tahu, mereka marah dengan pengIslaman saya kerana menganggap masyarakat Melayu Islam itu malas, pentingkan diri sendiri dan kehidupan Islam begitu membebankan.

``Mereka tanya mengapa saya mencari jalan susah, sedangkan kehidupan budaya mereka sememangnya mudah dipraktikkan,'' kata Mohammad Hafiz.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Hafiz berkata, ibu bapanya tidak suka kepada orang Melayu berdasarkan sejarah kehidupan yang pernah dilalui.

Insiden berdarah di antara sebuah keluarga jiran yang keturunan Cina dengan seorang berbangsa Melayu telah meyakinkan lagi tanggapan negatif keluarga sebelah neneknya tentang orang Melayu.

Selain itu, kebimbangan ahli keluarga bahawa Islam akan memisahkan hubungan kekeluargaan serta kehilangan nama keluarga Cina, tambah memburukkan lagi keadaan.

Tindakan beliau berkeras dengan pilihan Islam mengukuhkan lagi anggapan keluarga bahawa beliau cuba membuang bangsa dan keturunannya sendiri.

Di samping itu, mereka juga menganggap Islam dan Melayu begitu sinonim sedangkan, hakikatnya budaya Melayu dan ajaran Islam itu berbeza.

``Alhamdulillah, kini keluarga mula faham setelah diberikan penjelasan terperinci tentang kedudukan Islam dan Melayu di negara ini oleh saya.

``Sebenarnya, Islam bukan terletak kepada nama, sebaliknya amalan dan ketakwaan seseorang umat itulah yang lebih diambil kira oleh Allah s.w.t.

Biarpun berlainan agama, Mohammad Hafiz masih pulang menjenguk ibu bapa malah setiap kali selepas solat, beliau tidak lupa memanjatkan doa agar suatu masa nanti mereka juga akan menerima Islam dengan penuh keinsafan dan keredaan terhadap Allah s.w.t.

Ditanyakan perbezaan ketara selepas memeluk Islam, katanya aspek ketenteraman rohani begitu dirasai dan berharap semoga hatinya sentiasa tetap dengan Islam sehingga akhir hayat.

Berkongsi pengalaman bergelar mubaligh, beliau akui ia mencabar terutamanya apabila membabitkan hubungan saudara baru dengan ahli keluarga masing-masing.

``Saya pernah berdepan dengan situasi perebutan jenazah saudara baru di kalangan ahli keluarga dan JAIP.

``Kebiasaannya JAIP akan menguruskan jenazah saudara baru ini mengikut ajaran Islam tetapi keluarga kandung si mati mahu ia diuruskan mengikut adat mereka. Pertelingkahan ini sehingga menimbulkan kekecohan.

``Saya terpaksa mengemukakan bahan bukti bahawa anak mereka sudah memeluk Islam. Selepas itu barulah keadaan kembali reda,'' katanya.

Bertentangan

Kata Mohammad Hafiz, ada kalanya JAIP membenarkan jenazah berada semalam dengan ahli keluarga berkenaan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam keesokan harinya.

Tambah beliau, sepanjang tempoh itu mereka dilarang melakukan upacara penyembahan berhala atau apa sahaja amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Itupun sekiranya, keluarga si mati bersetuju dengan syarat yang ditetapkan.

Menyedari mereka adalah pasangan saudara baru, Mohammad Hafiz cuba menerapkan didikan Islam kepada anak-anaknya semenjak dari peringkat awal lagi. Apatah lagi, cita-citanya mahu anak-anak menjadi pendakwah apabila dewasa kelak.

``Saya sering bawa anak-anak menghadiri program pengajian Islam sama ada di destinasi berdekatan atau jauh. Selain, mengajarkan ibadah-ibadah penting bermula dengan sembahyang, puasa dan lain-lain. Alhamdulillah, kini mereka sudah pandai melakukan sembahyang dan mengamalkan cara hidup seorang Muslim,'' katanya.

Mengulas tentang peluang mengembangkan ajaran Islam kepada bukan Islam pada masa kini, tegas Mohammad Hafiz ia tidaklah begitu sukar memandangkan latar belakang pendidikan yang ada dan berkemampuan bergaul dengan semua kaum.

Setakat ini beliau sudah berjaya mengislamkan saudara baru melebihi 500 orang.

Bagi Asmah pula, beliau mengenali Islam melalui pembacaan dan bantuan bapa saudaranya yang juga seorang guru, Abdul Wahab Awang Juan, 40-an.

Asmah berasal dari keluarga campuran Orang Asli daripada suku Jahut di sebelah nenek dan datuknya berketurunan Cina berasal dari Kampung Penderas, Kuala Kerau, Temerloh, Pahang.

Menurut beliau yang memeluk Islam pada 1982 bersama enam adik-beradik yang lain, Asmah masih bersedih kerana ibu bapanya belum menerima hidayah Ilahi.

Malah anak ketiga daripada tujuh adik-beradik itu, sentiasa berdoa agar ibu bapanya memeluk Islam.

``Bapa takut terkena sumpahan sebagai anak derhaka daripada roh ibu dan datuk neneknya yang sudah meninggal dunia. Sikap bapa ini turut menghantui fikiran ibu menyebabkan dia juga tidak mahu peluk Islam,'' cerita Asmah yang berkenalan dengan Mohammad Hafiz selepas menerima tunjuk ajar daripada beliau dalam mata pelajaran Matematik.

Menceritakan cabaran beliau selepas memeluk Islam, kata Asmah, pemakaian tudung telah menimbulkan sedikit kejanggalan dalam hubungan beliau dengan keluarga suami. Ini kerana, mereka menganggap memakai tudung itu kolot dan tidak cantik.

Bagaimanapun tindakan bijak suami telah menghindarkan natijah yang lebih buruk berlaku.

Peristiwa yang tidak dapat dilupakan sepanjang pengIslaman beliau ialah tentang tindakan datuk yang memilih Islam selepas doanya untuk sembuh daripada penyakit ganjil dimakbulkan Allah s.w.t.

``Selepas sembuh datuk saya yang juga merupakan ketua kampung di situ bersama isteri dan cucunya telah memeluk Islam,'' kata Asmah mengakhiri perbualan.

Sumber: Utusan Malaysia 140705

No comments:

Post a Comment