I am collecting every Islamic article from trusted sites. As my collection and sharing for everyone.

Thursday, March 17, 2011

Konsep ummi Nabi Muhammad

SEBAHAGIAN besar sarjana Islam seperti al-Tabari, al-Razi dan al-Baydawi mengaitkan sifat ummi kepada Nabi Muhammad SAW dengan tujuan untuk membuktikan bahawa kitab al-Quran adalah wahyu Allah SWT yang bersifat mukjizat dan diturunkan kepada baginda SAW melalui perantaraan malaikat Jibril a.s.Malah, menurut pandangan Subhi Saleh, al-Quran itu adalah kalam Allah yang bermukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Jibril a.s., ditulis dalam beberapa mushaf, dipetik daripada riwayat yang mutawatir dan membacanya merupakan satu ibadat.

Berdasarkan fakta ini, Nabi Muhammad SAW umumnya dikenali sebagai seorang yang bersifat ummi.Menurut mereka, sifat ummi ini termasuk dalam salah satu mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW. Kerana belajar menulis atau membaca sebenarnya adalah merupakan satu proses yang tidak begitu sukar sehingga orang yang dianggap kurang pintar pun boleh mempelajarinya. Namun, orang yang langsung tidak belajar menulis atau membaca boleh dianggap mempunyai kelemahan yang besar dalam sudut kefahaman. Oleh itu, anugerah kekuatan akal dan kefahaman yang jitu terhadap ilmu seperti yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW boleh dikatakan sebagai satu mukjizat yang besar. Dilihat daripada sudut bahasa, perkataan ummi berasal daripada perkataan umm. Sarjana bahasa mempunyai pandangan yang berbeza tentang maksud ummi: golongan pertama mengatakan bahawa ummi bermaksud orang yang tidak tahu menulis atau membaca. Pandangan ini dikemukakan oleh Ibn Faris, Ibn Manzur, Abu Ishaq dan Ibn al-'Arabi.

Mereka percaya maksud ummi mempunyai kaitan dengan keadaan bayi yang tidak tahu apa-apa termasuklah menulis dan membaca semasa dilahirkan oleh ibunya. Pandangan ini diambil berdasarkan ayat 78 dalam surah al-Nahl, bermaksud: dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati. Golongan kedua mengatakan bahawa ummi bermaksud orang yang tidak tahu menulis atau membaca kitab.

Pandangan ini dinyatakan oleh al-Raghib berdasarkan hadis yang bermaksud: Kami ummah ummiyyah tidak menulis dan tiada bahan-bahan bertulis. (riwayat Bukhari). Golongan ketiga pula yang diwakili oleh al-Farra', al-Zajjaj dan al-Zabidi mengatakan ummi bermaksud orang yang tidak mempelajari atau mempunyai sebarang kitab. Mereka mengemukakan ayat 157 dalam surah al-A'raaf sebagai sandaran iaitu: Orang-orang yang mengikut rasul, nabi yang ummi yang namanya tertulis di dalam Taurat dan Injil yang terdapat di sisi mereka. Pengarang Arabic-English Lexicon, E.W. Lane berpendapat, ummi berasal daripada perkataan ummah yang merujuk kepada bangsa Arab (gentile) dan juga merujuk kepada orang yang tidak mempunyai sebarang kitab.. Menurut beliau, perkataan ummi turut boleh digunakan kepada sesiapa sahaja yang berada dalam keadaan yang sama iaitu tidak tahu menulis dan membaca. Di dalam al-Quran, perkataan ummi disebut sebanyak enam kali. Dua kali disebut dalam bentuk kata tunggal iaitu ummi dan empat kali disebut dalam bentuk kata majmuk iaitu ummiyyun atau ummiyyin. Al-Quran menyebut perkataan ummi pada dua tempat iaitu ayat 157 dan 158 surah al-A'raaf.

Kedua-dua ayat ini merujuk khusus kepada Nabi SAW. Ada pun perkataan ummi dalam bentuk kata majmuk pula disebut pada ayat 78 surah al-Baqarah, ayat 20 dan 75 surah ali 'Imran, dan ayat 2 surah al-Jumuah.Berdasarkan empat ayat al-Quran ini, ayat yang pertama merujuk kepada golongan Yahudi dan tiga ayat yang berikutnya merujuk kepada golongan Arab yang tidak mengikuti kitab-kitab samawi (heathen).Jika dilihat sudut masa penurunan ayat-ayat al-Quran itu pula, dua ayat dalam surah al-A'raaf di atas termasuk di dalam kategori ayat Makkiyyah. Empat ayat lagi yang merujuk kepada golongan Yahudi dan Arab termasuk di dalam kategori ayat Madaniyyah.

Oleh itu, berdasarkan pembahagian ini sifat ummi boleh dilihat daripada dua zaman iaitu zaman sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi nabi dan zaman selepasnya. Fakta yang mengatakan bahawa Nabi SAW sebelum menjadi nabi tidak tahu membaca dan menulis berdasarkan ayat 48 surah al-Ankabut: Dan kamu tidak pernah membaca sebelumnya sesuatu kitab pun dan kamu tidak pernah menulis suatu kitab dengan tangan kananmu. Andai kata kamu pernah membaca dan menulis, benar-benar ragulah orang yang mengingkarimu.Maksud ayat ini, Nabi SAW tidak pernah membaca dan menulis sebelum baginda diangkat menjadi nabi dan rasul. Ayat ini juga menjadi bukti al-Quran adalah mukjizat yang diturunkan kepada Nabi SAW, sekali gus menolak keraguan yang ditimbulkan oleh golongan ahli kitab dan musyrik Mekah.

Dalam ayat yang lain, Nabi SAW menolak tuduhan golongan musyrik Mekah dengan berhujah: Jikalau Allah menghendaki, nescaya aku tidak membacakannya kepadamu dan Allah tidak pula memberitahukannya kepadamu. Sesungguhnya aku telah tinggal bersamamu beberapa lama sebelumnya, maka apakah kamu tidak memikirkannya? (Yunus: 16).Menurut al-Razi, tujuan ayat ini adalah menjelaskan bahawa golongan musyrik Mekah tahu Rasulullah yang tinggal di kota yang sama sememangnya tidak tahu membaca dan menulis dan tidak pernah mempelajari ilmu membaca dan menulis daripada sesiapapun.

Justifikasi lain adalah berdasarkan fakta sejarah. Sejarawan Islam telah mencatatkan bahawa proses keilmuan sudah bermula pada zaman sebelum kedatangan Islam lagi. Al-Baladhuri, misalannya menyebut bahawa kebanyakan orang Arab Hijaz tidak tahu membaca dan menulis. Beliau telah menyenaraikan seramai 17 lelaki dan tujuh wanita yang mahir dalam membaca dan menulis. Antaranya yang terkenal ialah seperti Umar b. al-Khattab, Ali b. Abi Talib, Uthman b. Affan, Mu'awiyah b. Abi Sufyan, Hafsah bt. Umar, Aishah bt. Abi Bakr dan Umm Salamah. Dalam Tabaqat Ibn Sa'd, terdapat beberapa lagi senarai nama sahabat yang tahu menulis dan membaca. Apabila meneliti tulisan dua sejarawan ini, tidak pula ditemui nama baginda SAW tercatat dalam senarai itu. Fakta menunjukkan Nabi SAW sesudah menjadi nabi boleh membaca dan menulis juga bersandarkan kepada ayat 48 surah al-Ankabut.

Sebahagian sarjana seperti al-Harawi, al-Naysaburi dan al-Sya'bi berpandangan, ayat itu bermaksud Nabi Muhammad SAW hanya tidak tahu membaca dan menulis sebelum menjadi nabi, tetapi selepas menjadi nabi, baginda SAW harus tahu membaca dan menulis. Hujah mereka adalah ayat penafian dalam ayat 48 surah al-Ankabut hanya bertujuan menolak keraguan orang musyrik Mekah tentang kenabiannya. Namun, sesudah baginda SAW dilantik menjadi nabi, isu ini sudah tidak lagi relevan.

Oleh itu, berdasarkan pendapat ini, Nabi Muhammad SAW harus tahu membaca dan menulis melalui tunjuk ajar Malaikat Jibril a.s.Terdapat sarjana lain yang berpendapat kemahiran Nabi SAW dalam membaca dan menulis diperolehi tanpa mempelajarinya seperti orang lain dianggap satu mukjizat. Pendapat ini dikemukakan oleh al-Alusi, al-Baji dan Ibn Abi Syaibah. Mereka juga mengemukakan hadis untuk menyokong hal ini. Hadis itu bermaksud: "Nabi SAW tidak mati sehinggalah baginda tahu menulis dan membaca".

Kesimpulannya, perbincangan di atas bolehlah dibahagikan seperti berikut:

lTerdapat pendapat yang mengatakan Nabi Muhammad SAW tetap ummi baik sebelum mahupun selepas menjadi nabi dan sifat ini tidak terjejas dengan kewujudan perkataan 'sebelumnya' dalam ayat 48 surah al-Ankabut.

*Ada pendapat mengatakan Nabi SAW tidak lagi ummi selepas menjadi nabi berdasarkan kewujudan perkataan yang sama dalam ayat yang sama;

*Sifat ummi sebelum kenabian ialah jelas dan sukar untuk dinafikan. Pendapat ini diambil berdasarkan nas dan fakta sejarah;
 
*Sifat ummi selepas kenabian itu yang menjadi polemik dalam kalangan para sarjana. Hal ini disebabkan oleh pemahaman mereka yang berbeza terhadap nas dan juga fakta sejarah.

No comments:

Post a Comment