I am collecting every Islamic article from trusted sites. As my collection and sharing for everyone.

Thursday, March 17, 2011

Khat bawa Karima kepada Islam


Keindahan khat yang terdapat dalam Masjid Al Hamra, Sepanyol memikat hati Karima Burn seterusnya membawa beliau kepada Islam.


SAYA duduk di dalam Masjid Al Hambra, Sepanyol sambil menatap tulisan yang terukir indah di dinding-dindingnya. Iaitu tulisan yang paling indah, dengan keindahan yang sukar untuk diungkap melalui kata-kata.
"Walaupun saya tidak memahami walau sepatah pun tapi hati saya benar-benar sudah terpaut pada keindahan dan keunikan tulisan tersebut.

"Lalu saya bertanya asal usul bahasa dan tulisan tersebut dari mereka yang berada di masjid tersebut, lalu mereka menjawab bahawa tulisan itu adalah perkataan-perkataan dari Bahasa Arab," cerita Karima Burn ketika pertama kali beliau mengenal tulisan dan bahasa Arab.

Sejak itu tulisan atau kaligrafi khat sangat meninggalkan kesan dalam hatinya sehinggakan dengan pemandu pelancong yang membawanya melawat sekitar Kota Al Hambra Grenada Sepanyol diminta mendapatkan risalah-risalah dan buku panduan melancong dalam bahasa Arab.

"Bahasa Arab, adakah anda tahu berbahasa Arab?," tanya si pemandu pelancong.
"Saya tidak tahu tetapi saya ingin mempelajarinya dengan kamu mendapatkan juga terjemahannya dalam bahasa Inggeris," jawab Karima.

Di hari terakhir beliau melancong di Grenada itu, Karima banyak membawa pulang buku panduan dan lain-lain buku yang memuatkan keindahan tulisan khat, yang sudah pasti kesemuanya dalam bahasa Arab.
Sehinggakan baju-baju beliau 'dihadiahkan' kepada orang lain, semata-mata untuk memuatkan begnya dengan buku-buku itu. Baginya buku-buku itu ibarat emas berbanding baju-baju yang dibeli dengan harga yang mahal itu.

"Saya sering berkhayal betapa indahnya jika saya mampu menulis tulisan yang unik dan cantik itu. Sejak itu juga saya terfikir bahawa pasti ada sesuatu yang berharga dari sebuah budaya yang mempunyai bahasa dan bentuk tulisan yang sangat artistik itu.

"Lalu saya bertekad untuk mempelajari semua ini saat saya bakal memulakan pengajian di universiti," katanya.
Sebenarnya Karima ingin melihat dunia terlebih dahulu sebelum memulakan alam pengajian di universiti. Namun yang sebenarnya Karima sedang mencari jawapan dalam kebenaran beragama.

"Saya sudah meninggalkan gereja beberapa bulan sebelum itu yang menyebabkan saya buntu mengenai alternatif agama apa yang boleh memberikan jawapan yang paling tepat dalam pelbagai persoalan kepercayaan dan keagamaan," katanya.

"Walaupun saya rasa agak bersalah meninggalkan gereja dan tidak taat kepada Kristian tetapi akibat banyak ajaran yang bertentangan sehinggakan terdapat pelbagai versi Kitab (Injil) menyebabkan saya bingung dan sukar untuk memahami semua ini," katanya.

Jadi tanpa disengajakan beliau memilih selatan Sepanyol dan menyaksikan sendiri keindahan peninggalan Islam yang sangat agung di Seville dan Grenada. Ia menyedarkan Karima bahawa kaligrafi khat itu merupakan jawapan atas semua keresahan yang melanda jiwanya selama ini.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

No comments:

Post a Comment