I am collecting every Islamic article from trusted sites. As my collection and sharing for everyone.

Wednesday, December 22, 2010

Masjid di Taiwan tunjang syiar Islam


Ruang solat utama seakan masjid di Malaysia.


SETIAP Ahad, masjid-masjid di Taiwan dipenuhi pelajar asing dan kanak-kanak Islam untuk mengikuti kelas mempelajari bahasa Arab, al-Quran dan aktiviti agama.

Masjid di sana bukan hanya berfungsi sebagai tempat beribadat dan menganjurkan ceramah, tetapi menjadi pusat utama bagi penduduk Islam mengikuti ilmu keagamaan.

Pusat ibadah itu turut menjadi tempat tumpuan dan kunjungan masyarakat Islam di Taiwan untuk melaksanakan aktiviti pada hari-hari keagungan Islam seperti Ramadan, tarawih, solat sunat Aidilfitri serta Aidiladha.

Ini membuktikan Taiwan yang dulunya dianggap sebuah negara komunis memberi kebebasan beragama kepada penduduknya.

Namun, disebabkan penganut Islam di sana adalah golongan minoriti iaitu hanya sekitar 50,000 orang, kemudahan untuk mereka terhad.

Justeru, di seluruh Taiwan yang berkeluasan 35,915 kilometer (km), ia hanya mempunyai enam masjid.
Bagi memudahkan penganjuran aktiviti keagamaan dan menjaga kepentingan masyarakat Islam di negara itu, Persatuan Muslim China (CMA) ditubuhkan di Wuhan pada 1938.

Pada awal penubuhannya, CMA dikenali sebagai Persatuan Penyelamat Kebangsaan Islam dan ketika itu, ia mensasarkan kepada usaha untuk membantu kerajaan menentang serangan Jepun.

Selepas kerajaannya berpindah ke Taiwan, segelintir ahli persatuan itu dengan sokongan majoriti pesertanya merombak semula dan menamakannya sebagai CMA.

Hari ini, CMA menjadi sebuah persatuan yang sangat penting di Taiwan kerana ia umpama jambatan atau orang tengah yang menghubungkan kepentingan masyarakat Islam kepada kerajaan sehingga wujudnya pasaran halal di negara itu.

CMA turut menganjurkan lawatan tahunan ke negara-negara Islam lain bagi mengukuhkan hubungan masyarakat Islam di kedua-dua negara dan menjadi tulang-belakang wujudnya enam buah masjid di Taiwan.
Menariknya mengenai kewujudan masjid di sana yang ingin penulis kongsikan, ia didirikan dengan usaha penganut Islam di situ yang mencari dan mengumpul dana sendiri atau melalui sumbangan mana-mana pihak kerana kerajaan tidak membiayainya.

Demi memperkukuhkan kepentingan Islam, menyempurnakan aktivitinya dan memberi keselesaan kepada penganut, usaha bagi mendirikan masjid bukan satu masalah kepada penduduk Muslim di situ.
Pembinaan masjid pertama dan terbesar di Taiwan iaitu Masjid Besar Taipei yang terletak di Jalan Daan, Bandar Taipei, didirikan dengan sumbangan kos diberikan kerajaan Arab Saudi, Malaysia, Iran dan Jordan selain pinjaman tanpa riba kerajaannya.

Siap dibina tanggal 13 April 1960, struktur rekaan arkitek tersohor, Yang Chuo-Cheng itu mempunyai keluasan 2,747 meter persegi dan diiktiraf majlis bandar Taipei sebagai kawasan bersejarah pada 26 Jun 1999.

Kemudian, masjid kedua di Taiwan yang terletak di Kaohsiung, Masjid Kaohsiung dibina bagi menampung pertambahan penduduk Islam di negara itu.

Dengan penyediaan Pusat Kebudayaan Islam, masjid berkenaan membantu masyarakat Muslim Taiwan untuk mengikuti ceramah keagamaan dan mendalami ilmu Islam.

Ia turut memberi peluang dan memudahkan kanak-kanak Taiwan untuk mempelajari bacaan al-Quran dan mengikuti kelas agama.

Selepas itu, dua buah pusat ibadah Islam, Masjid Long Gang dan Masjid Taichung dibina melalui dana yang diperoleh CMA.

Didirikan pada 1964, Masjid Long Gang yang terletak di Taoyuan County dibina hasil dana dikumpul CMA melalui sumbangan masyarakat dan organisasi.

Sementara itu, Masjid Taichung yang sebelum itu dibina dalam keadaan kurang sempurna kerana dana yang terhad, didirikan kembali di sebuah kawasan hasil cadangan dan sumbangan kewangan Menteri Pengangkutan Saudi yang mengadakan lawatan ke Taiwan.

Beberapa tahun kemudian, Masjid Kebudayaan Taipei disiapkan pada 1984 di Taipei diikuti Masjid Tainan yang dibina di Tainan.

Sebelum wujudnya Masjid Tainan, masyarakat Islam Taiwan perlu berulang-alik ke Kaohsiung untuk menyertai aktiviti masjid.

Menyedari kepayahan itu, seorang rakyat Islam Taiwan yang menetap di Amerika Syarikat mendermakan sebuah tanahnya di Tainan untuk pembinaan masjid.

Penduduk setempat mendapatkan dana daripada Masjid Kaohsiung untuk menyiapkan pembinaan masjid itu pada 1996 yang mana ia menyediakan bangunan kedai, bilik mesyuarat, tandas, dewan solat dan pejabat.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm

No comments:

Post a Comment