I am collecting every Islamic article from trusted sites. As my collection and sharing for everyone.

Wednesday, December 22, 2010

Masjid di Taiwan tunjang syiar Islam


Ruang solat utama seakan masjid di Malaysia.


SETIAP Ahad, masjid-masjid di Taiwan dipenuhi pelajar asing dan kanak-kanak Islam untuk mengikuti kelas mempelajari bahasa Arab, al-Quran dan aktiviti agama.

Masjid di sana bukan hanya berfungsi sebagai tempat beribadat dan menganjurkan ceramah, tetapi menjadi pusat utama bagi penduduk Islam mengikuti ilmu keagamaan.

Pusat ibadah itu turut menjadi tempat tumpuan dan kunjungan masyarakat Islam di Taiwan untuk melaksanakan aktiviti pada hari-hari keagungan Islam seperti Ramadan, tarawih, solat sunat Aidilfitri serta Aidiladha.

Ini membuktikan Taiwan yang dulunya dianggap sebuah negara komunis memberi kebebasan beragama kepada penduduknya.

Namun, disebabkan penganut Islam di sana adalah golongan minoriti iaitu hanya sekitar 50,000 orang, kemudahan untuk mereka terhad.

Justeru, di seluruh Taiwan yang berkeluasan 35,915 kilometer (km), ia hanya mempunyai enam masjid.
Bagi memudahkan penganjuran aktiviti keagamaan dan menjaga kepentingan masyarakat Islam di negara itu, Persatuan Muslim China (CMA) ditubuhkan di Wuhan pada 1938.

Pada awal penubuhannya, CMA dikenali sebagai Persatuan Penyelamat Kebangsaan Islam dan ketika itu, ia mensasarkan kepada usaha untuk membantu kerajaan menentang serangan Jepun.

Selepas kerajaannya berpindah ke Taiwan, segelintir ahli persatuan itu dengan sokongan majoriti pesertanya merombak semula dan menamakannya sebagai CMA.

Hari ini, CMA menjadi sebuah persatuan yang sangat penting di Taiwan kerana ia umpama jambatan atau orang tengah yang menghubungkan kepentingan masyarakat Islam kepada kerajaan sehingga wujudnya pasaran halal di negara itu.

CMA turut menganjurkan lawatan tahunan ke negara-negara Islam lain bagi mengukuhkan hubungan masyarakat Islam di kedua-dua negara dan menjadi tulang-belakang wujudnya enam buah masjid di Taiwan.
Menariknya mengenai kewujudan masjid di sana yang ingin penulis kongsikan, ia didirikan dengan usaha penganut Islam di situ yang mencari dan mengumpul dana sendiri atau melalui sumbangan mana-mana pihak kerana kerajaan tidak membiayainya.

Demi memperkukuhkan kepentingan Islam, menyempurnakan aktivitinya dan memberi keselesaan kepada penganut, usaha bagi mendirikan masjid bukan satu masalah kepada penduduk Muslim di situ.
Pembinaan masjid pertama dan terbesar di Taiwan iaitu Masjid Besar Taipei yang terletak di Jalan Daan, Bandar Taipei, didirikan dengan sumbangan kos diberikan kerajaan Arab Saudi, Malaysia, Iran dan Jordan selain pinjaman tanpa riba kerajaannya.

Siap dibina tanggal 13 April 1960, struktur rekaan arkitek tersohor, Yang Chuo-Cheng itu mempunyai keluasan 2,747 meter persegi dan diiktiraf majlis bandar Taipei sebagai kawasan bersejarah pada 26 Jun 1999.

Kemudian, masjid kedua di Taiwan yang terletak di Kaohsiung, Masjid Kaohsiung dibina bagi menampung pertambahan penduduk Islam di negara itu.

Dengan penyediaan Pusat Kebudayaan Islam, masjid berkenaan membantu masyarakat Muslim Taiwan untuk mengikuti ceramah keagamaan dan mendalami ilmu Islam.

Ia turut memberi peluang dan memudahkan kanak-kanak Taiwan untuk mempelajari bacaan al-Quran dan mengikuti kelas agama.

Selepas itu, dua buah pusat ibadah Islam, Masjid Long Gang dan Masjid Taichung dibina melalui dana yang diperoleh CMA.

Didirikan pada 1964, Masjid Long Gang yang terletak di Taoyuan County dibina hasil dana dikumpul CMA melalui sumbangan masyarakat dan organisasi.

Sementara itu, Masjid Taichung yang sebelum itu dibina dalam keadaan kurang sempurna kerana dana yang terhad, didirikan kembali di sebuah kawasan hasil cadangan dan sumbangan kewangan Menteri Pengangkutan Saudi yang mengadakan lawatan ke Taiwan.

Beberapa tahun kemudian, Masjid Kebudayaan Taipei disiapkan pada 1984 di Taipei diikuti Masjid Tainan yang dibina di Tainan.

Sebelum wujudnya Masjid Tainan, masyarakat Islam Taiwan perlu berulang-alik ke Kaohsiung untuk menyertai aktiviti masjid.

Menyedari kepayahan itu, seorang rakyat Islam Taiwan yang menetap di Amerika Syarikat mendermakan sebuah tanahnya di Tainan untuk pembinaan masjid.

Penduduk setempat mendapatkan dana daripada Masjid Kaohsiung untuk menyiapkan pembinaan masjid itu pada 1996 yang mana ia menyediakan bangunan kedai, bilik mesyuarat, tandas, dewan solat dan pejabat.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm

Al-Baqarah 'jentik' Samuel

SAYA dilahirkan sebagai Samuel Taliwongso dalam sebuah keluarga Kristian yang sangat fanatik dari Desa Teling, Manado Indonesia. Bapa saya merupakan pengasas penubuhan Gereja Seven Day Advent di desa kami," kata Samuel yang menerima pendidikan awalnya di Advent Zending School iaitu sebuah sekolah mubaligh.

"Setiap hari semasa kecil itu, saya harus menghafal dan mengingat sepenuhnya sekurang-kurangnya lima fasal atau surah daripada Kitab Injil sebagaimana yang diarahkan oleh mendiang bapa," katanya.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke MULO yang sama seperti SPM namun bermula dari saat itu juga menyaksikan Samuel terlibat dalam perjuangan bersama-sama rakyat Indonesia lain untuk membebaskan negara mereka daripada penjajahan Belanda.

"Bagi pemerintah Belanda kelompok-kelompok seperti kami dikenali sebagai The Hogder for Soekarno (Anjing-anjing Soekarno) dan dilabelkan sebagai pemberontak," katanya.

Akibatnya Samuel menjadi sasaran dan sering diburu oleh pihak penjajah yang menyebabkan anak muda ini terpaksa lari dan menyembunyikan diri dan sehinggalah pada tahun 1947, Samuel akhirnya berjaya sampai ke Belanda.

Di Belanda, Samuel berkerja di sebuah syarikat minyak kepunyaan Syarikat Hindia Belanda dan diberi kepercayaan untuk mengetuai Jabatan Bahagian Perkapalan.
Selain menjalankan tugas sebagai ketua jabatan, Samuel masih tidak melupakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin gereja.

"Saya mengajarkan Kitab Injil kepada para jemaah gereja. Selain berusaha memurtadkan penganut Islam. Inilah kewajipan sebagai seorang pendeta atau pembaptis," katanya.
Perkara ini tidak menghairankan kerana sebelum ini pun, Samuel sudah mempunyai pengalaman membangunkan sebuah gereja dan membaptiskan beberapa orang gadis Islam yang berasal dari Gorontalo untuk dijodohkan dengan pemuda-pemuda Kristian

Pada tahun 1962 berlakulah satu peristiwa yang dikenali sebagai Dwikora@Trikora apabila penjajah Belanda menganggap seluruh penduduk Indonesia sebagai musuh.
"Saya termasuk salah seorang daripadanya. Lantas bagi mengelak daripada diberkas, saya terpaksa berkerja sebagai buruh binaan."

Apabila keadaan menjadi aman, beliau bersama-sama rakan yang senasib; Leo Tembeleng, Herard G. Nori dan W Oro, memberanikan diri menemui Gabenor Belanda pada masa itu, iaitu Gabenor Van Baal meminta kebenaran pulang ke Indonesia dengan jaminan keselamatan.

Van Baal setuju dengan syarat Samuel dan rakan-rakannya dikehendaki menaiki sebuah kapal laut yang menggunakan bendera negara Belanda. Bagaimanapun mereka tidak bersetuju.

Akhirnya, mereka berjaya menumpang sebuah kapal yang mengibarkan bendera negara Panama untuk pulang ke Jakarta. Kapal tersebut adalah milik seorang ahli perniagaan berbangsa Tionghua dari Singapura.

Untuk tujuan keselamatan mereka dibekalkan dengan sepucuk surat jaminan keselamatan yang ditulis sendiri oleh Bahagian Sekretaris Urusan Irian Barat (SUIB) dan Samuel sendiri diberi kepercayaan untuk menjadi ketua rombongan itu.

Sehinggalah pada suatu malam, pelayaran mereka dilanda ribut kencang. Dalam keadaan yang sangat mencemaskan itu, ada seorang penumpang kapal yang beragama Islam yang dikenali sebagai Latoke berasal dari Makassar yang menimbulkan kehairanan kepada para penumpang lain. Apa tidaknya, dalam keadaan gawat itu, Latoke dilihat sedang mendirikan sembahyang.

Tambah menghairankan, seusai solat, Latoke seperti tidak menghiraukan kapal yang boleh pecah dan tenggelam bila-bila masa. Malah dengan tenang beliau mengambil sebuah buku (al-Quran), terus membacanya dengan begitu khusyuk.

"Tentu sahaja saya berasa jengkel melihatkan Latoke itu walaupun kami benar-benar hairan bagaimana Muslim ini tidak muntah, tidak mabuk laut, malah begitu stabil tidak seperti kami yang lain," katanya.
Keesokan harinya, ribut kembali membadai, kali ini lebih dahsyat. Dalam keadaan kapal yang teroleng-oleng dipukul ombak dan hujan ribut petir yang sangat ganas, Samuel akhirnya berjaya menghampiri Latoke untuk mengetahui buku apa yang dipegang erat Latoke.

Barulah Samuel menyedari 'buku' tersebut adalah sebuah kitab suci yang sangat hampir kepada umat Islam, iaitu terjemahan al-Quran karangan Muhammad Yunus terbitan Toko Buku Gunung Agung, JI Kwitang, Jakarta.

"Secara curi-curi saya pun terus menyelak kitab tersebut kebetulan pada lembaran yang ditanda oleh Latoke. Iaitu surah al-Baqarah ayat 136," kata Samuel. Samuel sangat terkejut apabila membaca tafsiran ayat tersebut!

"Sungguh saya terkejut kerana barulah saya tahu ternyata umat Islam itu tidak sahaja percaya kepada Muhammad (Nabi) sahaja. Sebelum ini saya menyangka orang Islam tidak percaya adanya Tuhan (Allah) dengan mempercayai Muhammad semata-mata, tidak percaya kepada Nabi Isa, Nabi Daud dan lain-lain Nabi yang turut dipercayai oleh kalangan yang bukan Islam, Kristian," kata Samuel.

Seketika itu juga badai mula kembali hilang, laut kembali tenang namun meninggalkan Samuel yang merenung lautan lepas dan mahu mencari jawapan apabila ayat itu benar-benar membuatkan beliau dihujani pelbagai persoalan mengenai agama, mana satukah yang benar?

Temui kebenaran ketika dalam perjalanan dari Menado ke Jakarta

AKHIRNYA pelayaran Samuel selamat tiba ke destinasi yang dituju, iaitu Tanjung Priok, Jakarta.
"Seharusnya saya gembira kerana akhirnya selamat kembali ke tanah air yang tercinta tetapi menjadi begitu penasaran dengan apa yang saya baca daripada al-Quran itu.

"Ini menyebabkan hati saya membuak-buak ingin membaca lebih lanjut mengenai Islam dan saya yakin al-Quran pasti ada jawapannya."

Tetapi sebaik mendarat, Samuel terus dikawal ketat oleh dua polis pengawal atas perintah Konsulat Indonesia di Singapura kerana dia sangat dikehendaki oleh pemerintah Indonesia ketika itu.

"Dengan berhati-hati dan curi-curi bagi mengelakkan diri daripada ditahan semula saya terus mencari Toko Buku Gunung Agung di Jalan Kwitang untuk membeli al-Quran terjemahan seperti yang dimiliki oleh Latoke.

"Saya meminta supaya kitab itu dibungkus rapi supaya tidak koyak atau terkena hujan, pada hal yang sebenarnya bagi mengelak daripada diketahui orang. Apatah lagi ramai mengetahui yang saya sebenarnya seorang paderi Kristian."

Samuel kemudiannya dibenarkan untuk kembali semula ke kampung halamannya di Menado. Namun tidak lama kemudian beliau dipanggil oleh Angkatan Tentera Darat Indonesia untuk membantu misi pendaratan di Irian Barat, sekali gus memerlukannya melaporkan diri di Jakarta.

"Dalam perjalanan dari Menado ke Jakarta inilah saya mengambil peluang dan kesempatan untuk membuka dan membaca kitab Terjemahan al-Quran itu.

"Saya membaca dan terus membaca yang menyebabkan saya menemui pelbagai kebenaran mengenai Islam. Saya mulai tahu dan faham bahawa ajaran agama asal saya salah semuanya," kata Samuel yang akhirnya mengucapkan dua kalimah syahadah.

Semenjak itu, dia terus mengkaji mengenai Islam dari pelbagai sudut dan sumber terutama al-Quran dan hadis. Apa yang lebih penting, dia kembali kepada tugas asal saya, suma kali ini bergelar daie.

"Saya lakukan ini kerana ingin mengembalikan mereka yang dahulunya pernah menjadi mangsa seruan ajaran agama lama saya sehingga menyebabkan mereka murtad dari sebuah ajaran yang sangat benar," katanya.

Namun yang lebih mencabar lagi apabila tindakan Samuel yang kini lebih dikenali sebagai Sulaiman Taliwongso telah menimbulkan kemarahan di kalangan teman-teman paderinya dahulu.

"Hampir setiap malam, rumahnya tidak putus-putus dikunjungi paderi untuk mengajak saya berdebat dengan harapan mengembalikan saya semula kepada Kristian.

"Alhamdulillah saya mampu menghadapi serangan-serangan hujah mereka malah turut menyebabkan ada di kalangan paderi itu sendiri akhirnya mengakui mengenai kebenaran Islam," katanya.

Namun satu hal yang menjadi keprihatinan Samuel, umat Islam saat ini ramai yang tidak tahu mengenai ajaran agama mereka sendiri, bahkan semakin jauh dan asing dalam agama sendiri.

"Umat Islam mulai berpecah-belah dan mencintai hanya kelompok mereka sendiri di samping ramai juga yang hanya Islam pada nama dan warisan sahaja!" katanya.

Barisan ayat terakhir Sulaiman ini wajar kita renungi kebenarannya kerana ternyata Samuel tidak berdusta malah benar belaka!

 



http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Kahwin budak 11 tahun tidak sah


SITI Sarnan Mat Ail memimpin tangan anaknya sambil diiringi suaminya, Hussin Salleh meninggalkan Mahkamah Tinggi Syariah di Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 22 Dis. 2010 – Tekanan yang ditanggung oleh seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun selama lapan bulan selepas didakwa dinikahkan oleh ayahnya sendiri dengan lelaki berusia 41 tahun, terlerai hari ini apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini memutuskan perkahwinan mereka tidak sah.
Keputusan tersebut disambut dengan linangan air mata kesyukuran oleh ibu kanak-kanak terbabit, Siti Sarnan Mat Ail, 42, selaku plaintif yang memfailkan permohonan membatalkan perkahwinan berkenaan.
Dalam permohonan itu, plaintif menamakan suaminya, Hussin Salleh, 54, defendan pertama manakala lelaki yang dikatakan bernikah dengan anaknya, Shamsudin Che Deraman atau dikenali sebagai ‘Sudin Ajaib’ defendan kedua.
Kanak-kanak tersebut yang hadir di mahkamah dengan memakai baju kurung biru berbunga merah dan bertudung warna krim dilihat resah di galeri awam sementara menunggu keputusan dibacakan.
Dalam keputusannya, Hakim Syarie, Abdullah Man berkata, mahkamah mendapati tidak ada asas untuk membatalkan perkahwinan tersebut kerana ia tidak mempunyai dokumen yang sah serta sijil nikah.
‘‘Pernikahan antara kedua-duanya hanya dakwaan pihak plaintif kerana tidak disokong dokumen yang lengkap untuk menjelaskan wujudnya pernikahan tersebut.
‘‘Bagaimanapun mahkamah mengambil kira peranan wali mujbir iaitu ayah kepada kanak-kanak tersebut yang mempunyai hak mengahwinkan anak perempuan mereka tanpa mengira usia. Persoalannya jika mengikut hak wali mujbir apakah perkahwinan itu sah atau tidak,’’ katanya.
Abdullah menegaskan, berdasarkan keterangan defendan dalam perbicaraan yang lepas, timbul perkara-perkara berunsur penipuan, paksaan dan ugutan semasa pernikahan itu berlangsung.
‘‘Mahkamah mendapati wali semasa memberi keterangan balas, seorang yang ‘betul’, tidak pandai beralasan dan hanya mengikut telunjuk orang lain, seolah-olah tidak mempunyai pegangan.
‘‘Walaupun wali terlibat dalam pernikahan tersebut tetapi tidak mempunyai niat untuk mengahwinkan anaknya itu,’’ ujar beliau.
Sehubungan itu, katanya, perkahwinan tersebut tidak sah mengikut hukum syarak dan Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002.
Abdullah sebelum itu turut mengesahkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan membatalkan pernikahan yang didakwa berlangsung pada 19 Februari lalu walaupun defendan kedua tidak pernah hadir ke mahkamah.
Katanya, akad nikah didakwa berlangsung sebanyak dua kali iaitu pertama kali di Madrasah Pakistan di Machang dan disusuli di sebuah hotel, Berek 12 di sini.
‘‘Plaintif mendakwa ketika akad nikah berlangsung, anaknya itu tidak ada bersama-sama dengan defendan sebaliknya ada bersamanya di kampung Jelawang, Dabong, Kuala Krai.
‘‘Apabila pulang ke rumah, defendan membawa anaknya keluar dan tidak pulang. Selepas empat hari keluar dari rumah mereka, plaintif diberitahu oleh suaminya, anaknya itu telah dinikahkan dengan Sudin Ajaib,’’ katanya.
Menurut Abdullah lagi, kanak-kanak itu kemudian ditemui seorang diri dalam keadaan lesu di sebuah madrasah di Batu Caves, Selangor pada 12 Mac lalu dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh selama lima hari kerana mengalami tekanan.
Katanya, permohonan plaintif dikemukakan dengan alasan anaknya itu masih muda dan tidak tahu tanggungjawab sebagai seorang isteri manakala Shamsudin telah pun mempunyai tiga isteri serta tidak bekerja.
Menurut beliau, perkara itu disokong oleh isteri pertama Shamsudin, Rohana Ibrahim, 34, yang mengesahkan suaminya telah berkahwin tiga dan mengikuti kumpulan tabligh.
Sementara itu, Siti Sarnan yang diwakili peguam syarie, Mohd. Zaki Zainal Abidin ketika ditemui di luar mahkamah, melahirkan rasa syukur dengan keputusan tersebut dan berharap Shamsudin tidak lagi mengganggu hidup anaknya.
‘‘Syukur banyak-banyak kerana apa yang saya tuntut bagi pihak anak saya selama ini telah selamat, tidak ada apa-apa lagi hubungan antara Sudin dengan anak saya.
‘‘Saya tidak berdendam namun berharap Sudin jangan ganggu anak saya malah sejak perkara ini dihebahkan, dia juga ghaib begitu sahaja,’’ katanya.
Tambahnya, apa yang berlaku akan dijadikan pengajaran dan tugasnya kini menyekolahkan anaknya itu dan memastikan dia berjaya dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun hadapan.
Hussin yang mengahwinkan anaknya itu pula berjanji akan lebih berhati-hati dalam urusan menjodohkan anaknya pada masa depan.

Source 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_01.htm

Thursday, December 16, 2010

Jangan berpolemik kahwin bawah umur

Original Source:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

KISAH pernikahan Siti Maryam Mahmod, 14, dengan seorang guru, Abdul Manan Othman, 23, awal Disember lalu dengan kebenaran Mahkamah Syariah menimbulkan rasa kurang senang segelintir masyarakat.
Bagaimanapun, jika kita mengkaji sirah Nabi SAW, baginda SAW telah memberi panduan kepada kita dalam hal ini.
Nas paling jelas adalah pernikahan baginda dengan Siti Aisyah r.a yang ketika itu berusia enam tahun.
Ia sebagaimana hadis yang bermaksud: Daripada Aisyah r.a. berkata: Nabi SAW melaksanakan pernikahan denganku ketika aku berumur 6 tahun. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto MOHD. NOOR MAT AMIN menemu bual Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd. Awal bagi mengupas isu ini.


Mega: Apakah hukum Islam mengenai perkahwinan bawah umur?
NOOR AZIAH: Perkahwinan dalam Islam adalah sunnah Nabi Muhamad saw. Ia adalah satu ibadah dan satu-satunya cara menghalalkan hubungan seks atau kelamin antara seorang lelaki dan perempuan bukan mahram.

Pernikahan disebut mithaq yang bermaksud satu perjanjian suci dan mesti diupacarakan mengikut hukum Islam. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Nikah itu adalah sunnahku dan barang siapa yang tidak suka sunnahku, maka dia bukanlah daripada umatku. (riwayat Bukhari)
Untuk suatu pernikahan menjadi sah ia mestilah memenuhi keperluan berikut:

(a) Lelaki
(b) Perempuan
(c) Wali
(d) Saksi
(e) Ijab dan qabul.

Jika dilihat di atas, perkahwinan mempunyai nas tersendiri dan hukum yang sesuai mengenainya. Mengikut Iman Abu Hanifah, Ahmad ibn Hanbal dan Malik Ibn Anas, perkahwinan adalah sesuatu yang digalakkan namun bagi sesetengah individu ia menjadi wajib.
Pandangan umumnya adalah jika seseorang lelaki atau perempuan takut dia akan melakukan zina, maka perkahwinan adalah wajib baginya. Perkahwinan juga wajib bagi orang yang mempunyai nafsu seks yang tinggi.

Daripada sudut umur, Islam tidak menjadikan umur sebagai syarat perkahwinan. Ini jelas melalui perkahwinan Nabi Muhamad SAW dengan Aisyah. Dalam satu hadis Aisyah menyatakan yang dia berkahwin dengan Nabi semasa berumur 6 tahun dan perkahwinan itu disempurnakan semasa dia berumur 9 tahun. Dan mereka tinggal bersama selama 9 tahun sehingga kewafatan Nabi SAW.

Jadi dalam Islam, perkahwinan bawah umur atau kanak-kanak boleh berlaku dengan syarat ia mengikut hukum Islam.

Di Malaysia, di bawah undang-undang keluarga Islam di semua negeri, semua perkahwinan yang hendak diakadnikahkan perlu membuat permohonan dan diletakkan umur minimum iaitu 18 bagi lelaki dan 16 bagi perempuan. Namun pasangan masih boleh diakadnikahkan di bawah umur tersebut jika dibenarkan oleh Hakim Syarie.

Benarkan baligh antara faktor yang diambil kira untuk membenarkan perkahwinan bawah umur?
NOOR AZIAH: Jika dilihat kepada hadis mengenai perkahwinan Aisyah dengan Nabi SAW, baginda hanya mula tinggal bersama Aisyah apabila beliau sudah baligh.

Jadi, pernikahan boleh berlaku sebelum baligh. Asalkan wali memberi persetujuan dan kita tahu, dalam mazhab Shafie, wali mujbir boleh menikahkan anak gadisnya tanpa persetujuan anak gadis itu. 
Peranan wali sangat penting kerana perkahwinan tanpa wali adalah tidak sah. Jadi untuk mengadakan hubungan seks, anak gadis yang terlalu muda usianya yang dinikahi itu mesti telah baligh.

Apa maksud baligh? Daripada sudut bahasa baligh bermakna sampai kepada sesuatu atau penghabisan kepada sesuatu tujuan, tempat terhenti.
Tanda baligh bagi lelaki yang disepakati ulama adalah keluar air mani sama ada sewaktu jaga atau tidur, ketika bersetubuh ataupun bermimpi atau selainnya.
Tanda baligh bagi perempuan adalah haid atau hamil.

Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) mentakrif kanak-kanak sebagai “seorang yang berumur di bawah 18 tahun atau di bawah umur tersebut jika umur dewasa dicapai lebih awal di negara tersebut. Jadi definasi baligh dan dewasa dalam Islam tidak bercanggah dengan CRC.

Menentukan had umur antara kanak-kanak dengan orang dewasa adalah hak negara. Penentuan had umur perlu dibuat kerana implikasi undang-undang berbeza di antara orang dewasa dengan kanak-kanak.
Di Malaysia, Akta Umur Dewasa 1971, mentakrif orang dewasa sebagai “yang berumur di atas 18 tahun” dan Akta Kanak-kanak 2001 mentakrif kanak-kanak sebagai yang “berumur di bawah 18 tahun”.

Namun semua perundangan Islam tidak memberi takrif kepada mumaiyiz dan baligh. Jadi ada kalanya percanggahan berlaku daripada sudut umur sahaja. Perlu juga diingat perbezaan dewasa dan kanak-kanak penting kerana jika kanak-kanak melakukan jenayah, mereka tidak dihukum seperti orang dewasa.