I am collecting every Islamic article from trusted sites. As my collection and sharing for everyone.

Monday, October 4, 2010

Perkim rai saudara Muslim


Shahidan Kassim menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim, anak saudara Muslim dan kanak-kanak Islam Rohingya.


BARU-baru ini Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menganjurkan Majlis Rumah Terbuka sempena Aidilfitri. Ia diadakan di pekarangan rumah rehat Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD), Persiaran Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur.

Majlis itu dihadiri oleh 3,500 orang terdiri daripada saudara Muslim berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh, Sikh, Indonesia, Filipina, Nigeria dan juga tetamu agensi-agensi kerajaan dan swasta.

Ia diserikan dengan kehadiran Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Wanita Perkim, Kelab Perkim Universiti, Sahabat Perkim, Pusat Pemulihan Kesihatan Perkim, Perkim bahagian dan cawangan.

Naib Yang Dipertua Perkim 1, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, rumah terbuka Aidilfitri itu bertujuan memupuk persefahaman di kalangan masyarakat bersama saudara Muslim yang baru memeluk Islam.

Secara tidak langsung, ia juga memperkenalkan Perkim sebagai organisasi yang bertanggungjawab dalam berdakwah, kebajikan dan pendidikan saudara Muslim.

“Kehadiran Aidilfitri menjanjikan suatu nikmat besar yang menjadi tunggak kepada perpaduan, keharmonian dan kesepakatan dalam masyarakat Islam serta kebahagiaan dunia dan akhirat sejajar konsep 1Muslim, Dakwah Didahulukan Saudara Muslim Diutamakan,” kata beliau.

Menurut Shahidan, Aidilfitri ini lebih bermakna sekiranya melakukan ibadah puasa sunat enam dalam bulan Syawal kerana ganjarannya seperti berpuasa sepanjang tahun.

Pada masa yang sama, Shahidan berkaat, seluruh Perkim bahagian dan cawangan harus memainkan peranan menganjurkan kelas agama harian seperti yang dilakukan Perkim Kebangsaan kepada saudara muslim agar mereka tidak ketinggalan dalam mendalami ilmu akidah, ibadah, hadis, sirah nabi dan sebagainya dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.

Beliau turut menyeru masyarakat Islam membantu Perkim mendekatkan diri mereka kepada saudara Muslim dengan membimbing dan memberi tunjuk ajar mereka di mana sahaja walaupun surau, masjid atau di tempat-tempat awam.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim, kanak-kanak Islam Rohingya dan saudara muslim.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua 2 Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi berkata, sebagai organisasi Islam yang berperanan menyemarakkan usaha dakwah dan penyebaran syiar Islam, Perkim menyediakan khidmat kaunseling dan bimbingan bagi membantu saudara baru.

“Perkim hanya sebagai badan dakwah. Perkim hanya berdakwah dan membantu mereka yang mahu memeluk Islam,” tegas beliau.

Pelbagai juadah yang disediakan antaranya adalah ketupat, lemang, rendang, nasi himpit, sate, kuetiau goreng, laksa, mee goreng, nasi bukhara, cendol, buah-buahan, kuih muih dan sebagainya.

Majlis diserikan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang cabutan nombor bertuah yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman.

No comments:

Post a Comment