I am collecting every Islamic article from trusted sites. As my collection and sharing for everyone.

Tuesday, September 28, 2010

Islamofobia penyakit jiwa, rasa takut, bimbang pada Islam

Original Source:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Islamofobiapenyakitjiwa_rasatakut_bimbangpadaIslam/Article

Islamofobia penyakit jiwa, rasa takut, bimbang pada Islam
Oleh Mohd Shukri Hanapi

2010/09/29

Ummah perlu maju dalam teknologi bagi menangkis fitnah dari Barat

FENOMENA Islamofobia membayangkan kebangkitan Islam apabila dianggap sebagai satu ancaman kepada keamanan dan menimbulkan rasa takut serta bimbang di kalangan sesetengah pihak terhadap kebangkitan Islam.
Walaupun perasaan negatif sedemikian wujud pada budaya dan masyarakat Barat sejak beberapa abad lalu, sikap itu semakin jelas kini, malah menjadi agenda tetap berita sesetengah media Barat.
Menurut Quraishi (2005), istilah Islamofobia diperkenalkan sekitar tahun 1980-an, tetapi kian popular selepas serangan 11 September 2001.

Islamofobia merujuk pada prasangka, diskriminasi, rasa takut dan benci terhadap Islam lalu membawa kepada takut dan tidak suka kepada umatnya. Ia juga merujuk amalan mendiskriminasikan orang Islam dengan mengasingkan mereka daripada kegiatan ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat.

Selain itu, Islamofobia termasuk persepsi bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah daripada nilai Barat dan mempunyai ideologi politik yang ganas daripada dikenali sebagai satu agama.

Secara mudahnya, Islamofobia bererti rasa takut atau bimbang terhadap Islam sama ada pada penganutnya, ajarannya, budayanya dan segala berkaitan Islam. Sebenarnya, ini adalah penyakit jiwa yang menyebabkan rasa takut dan bimbang terhadap Islam.
Ketakutan dan kebimbangan itu mendorong Barat dengan kelebihan teknologi mengecam dan merendahkan Islam sebagai satu agama. Keadaan ini boleh mengeruhkan hubungan murni antara orang Islam dengan bukan Islam.

Laporan neologisme Islamofobia dilancarkan pada 1996 oleh Suruhanjaya Mengenai Masyarakat Islam British dan Islamofobia. Pada 1997 suruhanjaya itu mengeluarkan laporan ‘Islamophobia: A Challenge For All Of Us’, dengan memberikan komponen dikenal pasti (menurut pandangan mereka) mengenai Islamofobia.

  • Pertama, Islam dilihat sebagai blok monolitik, statik dan tidak responsif kepada perubahan.

  • Kedua, Islam dilihat sebagai pemecah belah.

  • Ketiga, ia tidak mempunyai nilai yang sama dengan budaya lain, tidak memberi kesan dan tidak mempengaruhinya.

  • Keempat, Islam dilihat sebagai rendah kedudukan, kasar, tidak rasional, primitif dan diskriminasi jantina.

  • Kelima, Islam dilihat sebagai keganasan, agresif, mengecam, menyokong pengganasan dan terbabit dalam pertembungan budaya.

  • Keenam, kritikan umat Islam terhadap Barat ditolak.

  • Ketujuh, cemuhan terhadap Islam digunakan untuk menjustifikasikan amalan diskriminasi dan pengasingan umat Islam dalam arus perdana masyarakat.

    Ketujuh-tujuh komponen itu menunjukkan berlakunya salah faham sangat ketara berkenaan Islam di kalangan masyarakat Barat. Dakwaan dan andaian ditanam dalam minda mereka seterusnya diterjemahkan melalui tindakan zahir, baik melalui kekerasan fizikal mahupun perbualan harian.

    Ia menunjukkan satu bebanan tanggungjawab besar perlu dipikul umat Islam untuk memberi kefahaman sebenar kepada masyarakat bukan Islam khususnya di Barat. Dunia Islam menganggap salah faham mengenai Islam dan nilainya adalah penyebab Islamofobia.

    Islamofobia akan berterusan kerana cara inilah Barat dapat menggugat dan menyekat kemaraan Islam. Namun semakin mereka menekan, semakin laju langkah umat Islam kerana cahaya Allah tidak akan padam.

    Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah al-Saff, ayat 8)

    Untuk menghadapi fenomena ini, umat Islam perlu bijak mengatur langkah dan strategi berkesan antaranya membina kefahaman mengenai Islam dalam setiap diri individu Muslim. Aspek paling asas patut diselesaikan umat Islam.

    Umat Islam tidak perlu mencipta polisi atau dasar lain sebagai penyelesaian kerana penyelesaian sudah tersedia sejak dulu lagi. Paling penting kemampuan umat Islam menyesuaikan era pascamodenisme ini dengan kesyumulan Islam.

    Umat Islam juga perlu berusaha memberi kefahaman kepada Muslim dan bukan Muslim mengenai tuduhan yang dipalitkan terhadap Islam khususnya di Barat.
    Namun sukar kerana penguasaan media secara global oleh Barat.

    Islam perlu maju dalam bidang teknologi bagi membolehkan umat menepis tuduhan serta fitnah. Mengadakan dialog antara pemimpin agama dapat membantu menjernihkan fenomena Islamofobia.

    Menghadapi situasi yang mencengkam umat kini, unsur persaudaraan harus menjadi tali penghubung dan pengikat seluruh umat Islam. Jika kita bersatu di bawah ikatan akidah, maka akan terhasillah kesatuan pemikiran dapat menghasilkan kesatuan tindakan.
  • Bangsa Arab punca Muhammad dimusuhi

    Original Source:
    http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

    Bangsa Arab punca Muhammad dimusuhi

    KISAH mengenai kaum Yahudi, dalam buku Sirah Nabawiah, yang diterjemahkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) jelas membuktikan bahawa kaum itu tidak boleh diharapkan. Mereka memandang Islam dengan pandangan yang penuh kebencian dan dendam kesumat.

    Tidak menghairankan sehingga ke hari ini mereka tetap begitu.

    Ini kerana nabi terakhir yang mereka tunggu-tunggu selama ini sebagaimana disebutkan dalam kitab Taurat mahupun Injil bukan daripada kalangan bangsa Yahudi tetapi berbangsa Arab.

    Ini menyebabkan Yahudi tidak dapat menerima hakikat bahawa tiada lagi nabi dari kalangan mereka. Malah, kali ini terpaksa pula 'tunduk' kepada orang Arab.

    Penulis buku itu, Al Mubarakfuri berkata, sebab itu sukar untuk mententeramkan fahaman kebangsaan yang terlalu menebal dan menguasai jiwa dan akal fikiran mereka.

    "Sedangkan dakwah Islam pula ialah dakwah yang bertujuan menyatukan hati-hati yang tidak sehaluan serta memadamkan api permusuhan dan benci membenci antara satu sama lain.

    "Dakwah Islam juga mengajak kita supaya bersikap amanah dalam segenap urusan, memakan sumber yang halal dan harta yang baik-baik sahaja," katanya.

    Ini bererti kabilah-kabilah Yahudi di Yathrib juga akan disatukan di bawah prinsip-prinsip itu.

    Jika itu berjaya dilakukan pastinya penduduk Yathrib akan terlepas juga akhirnya dari cengkaman Yahudi apabila kaum itu tidak lagi boleh menguasai perniagaan yang tidak adil dan amanah.

    Mereka akan dihalang memiliki harta secara keuntungan besar daripada riba yang selama ini menjadi sumber utama mereka memperolehi kekayaan.

    Malah ada kemungkinan kabilah-kabilah Arab yang lain akan mulai sedar lalu meminta supaya dipulangkan semula harta-harta yang diambil oleh orang Yahudi secara riba itu.

    Iaitu seperti tanah dan kebun-kebun yang sebelum ini telah jatuh ke tangan bangsa tersebut.

    Namun bangsa Yahudi di awal kehadiran Nabi Muhammad di Yathrib dikatakan telah mengambil kira kesemua perkara tersebut sejak mereka dapati Islam mula mendapat kedudukan yang stabil di Yathrib.

    Oleh itu, mereka telah menyembunyikan permusuhan ketat mereka terhadap Islam dan Nabi Muhammad sejak baginda mula sampai di Yathrib.

    Namun mereka tidak menzahirkan atau menampakkan penentangan tersebut kecuali selepas baginda dan umat Islam semakin bertapak kukuh di Yathrib sehingga dalam banyak peristiwa Yahudi sendiri sanggup menjadi musuh dalam selimut atau duri dalam daging. Mereka menjadi pengkhianat dan bersekongkol dengan musuh Islam yang sebenar, iaitu kafir Musyrikin Mekah.