Al-Quran, sunnah wajib jadi sumber utama rujukan
Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
PASANGAN suami isteri, yang hendak berjimak pada siang hari, wajib membatalkan puasa mereka malah si suami wajib membayar denda (kifarah) seperti yang ditetapkan oleh syarakAL-QURAN al-Karim adalah mukjizat terbesar dan teragung yang dikurniakan Allah kepada Rasulullah. Al-Quran yang padat dengan wahyu Ilahi adalah cahaya yang menerangi kehidupan manusia sejagat ke arah kebahagiaan dunia dan akhirat.
Oleh itu, sesiapa yang berpegang teguh dengan segala ajaran yang terkandung dalamnya, maka dia akan beroleh pelbagai kurniaan dan ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah. Selain itu, al-Quran memelihara diri daripada terjebak ke kancah kesesatan dan kefasikan.
Al-Quran adalah kalamullah atau wahyu Allah yang diturunkan kepada Rasulullah melalui Jibril pada Ramadan. Ini sebagaimana ditegaskan Allah dalam surah al-Qadr, ayat 1 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam al-Qadar.” Penurunan al-Quran pada malam itu melengkapkan kelebihan dan keistimewaan yang menghiasi Ramadan yang penuh berkat itu.
Seterusnya, umat Islam dituntut untuk meyakini bahawa al-Quran adalah kitab suci daripada Allah, bukannya ciptaan manusia mahupun ciptaan Rasulullah.
Justeru, beriman kepada al-Quran termasuk salah satu Rukun Iman yang enam yang menjadi tonggak utama kepada addin Islam yang diredai Allah. Dalam hal ini, Allah menolak dakwaan orang kafir Musyrikin yang meragui kebenaran al-Quran. Mereka menganggap bahawa al-Quran adalah ciptaan Nabi Muhammad yang diajar oleh golongan cerdik pandai dan kemudian membukukannya. Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) al-Quran itu diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) daripada Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat untuk meneguhkan iman orang yang beriman dan untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang menggembirakan bagi orang Islam. Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui bahawa mereka yang musyrik itu berkata: Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia. (Padahal) bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing sedangkan al-Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata.” - (Surah an-Nahl, ayat 102-103)
Mafhum ayat suci itu jelas mengisyaratkan bahawa al-Quran dibawa oleh malaikat Jibril daripada Allah untuk pengukuhan keimanan orang yang beriman dengan isi kandungannya. Ia mengandungi dalil tegas yang membuktikan keesaan Allah Pencipta alam semesta, kekuasaan-Nya dan keluasan ilmu-Nya.
Pada masa sama, al-Quran juga menggalakkan umat manusia agar memerhati dan menyelidiki alam langit dan bumi berpandukan dengan suluhan al-Quran yang berisi panduan hidup. Ia berupaya memajukan mereka dalam semua lapangan hidup meliputi akhlak, kebudayaan dan ilmu pengetahuan untuk mencapai peringkat yang tidak dapat ditandingi oleh umat lain.
Ringkasnya, al-Quran adalah sumber ilmu pengetahuan dalam pelbagai disiplin ilmu sehingga terbentuk satu prinsip kerukunan hidup yang serba lengkap di dunia dan akhirat kelak. Justeru, al-Quran sewajibnya diangkat sebagai teras dan sumber rujukan utama yang mendasari seluruh aspek kehidupan manusia, bukan sekadar hiasan yang tergantung pada dinding rumah atau hiasan.
Sebenarnya makna beriman kepada al-Quran tidak hanya sekadar itu, malahan menuntut beberapa ciri atau perkara yang juga pelengkap kepada pengertian beriman kepada al-Quran.
Antara makna beriman kepada al-Quran ialah selaras dengan seruan Rasulullah kepada umatnya agar sentiasa membaca al-Quran. Baginda pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengazabkan orang yang hatinya sentiasa mengingati al-Quran dan beramal dengannya.” (Hadis riwayat At Tausi)
Dalam satu hadis lain, Baginda bersabda maksudnya: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Lebih-lebih lagi, membaca al-Quran amat digalakkan bukan saja pada Ramadan, bahkan pada bulan lain. Di samping itu, adab dan peraturan membaca al-Quran perlulah dipelihara. Kita juga dituntut memperelokkan bacaannya agar termasuk dalam koleksi amalan soleh yang diterima Allah. Bukankah Rasulullah sering kali bertadarus al-Quran bersama Jibril sepanjang malam Ramadan.
Selain membaca, setiap Muslim dituntut untuk memahami dan menghayati maksud, makna, pengertian dan pengajaran yang tersurat dan tersirat dalam kitab al-Quran. Ini bertepatan dengan agenda al-Quran sebagai pembawa berita gembira dan amaran kepada warga alam sejagat.
Di samping itu, al-Quran adalah kitab Allah yang mengandungi hukum-hakam dan panduan hidup yang lengkap bagi menjamin kelangsungan insan ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan sejati.
Dalam hal ini, Allah berfirman bermaksud: “Haa Mim. Turunnya kitab ini daripada Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi. Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu iaitu al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya. Ia membawa berita yang menggembirakan (bagi orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya.” - (Surah Fussilat, ayat 1 - 4)
Kefahaman tepat dan betul kepada isi kandungan al-Quran amat penting dalam mencorakkan tasawwurnya kepada Islam serta memerangi ajaran sesat dan kebatilan dalam minda dan hati umat manusia.
Untuk itu, sunnah wajar diangkat sebagai sumber rujukan utama untuk menerang dan menjelaskan maksud kabur dalam al-Quran. Justeru, al-Quran dan sunnah seumpama teman yang tidak dapat dipisahkan sebagai rujukan utama dalam setiap bidang lapangan hidup.